Rabu, 26 Oktober 2011




KUALA LUMPUR, 25 OKT 2011: Mengakui namanya pernah popular sebagai penyanyi menerusi kumpulan Moin, Siti Haida Abd Moin atau Ida yang kini ligat mengaktifkan diri sebagai pelakon komedi hanya mampu tersenyum lebar tatkala diajukan soalan mengenai pembabitannya dalam bidang nyanyian.
Bagaimanapun, Ida tidak menafikan perasaan ingin merakamkan lagu baru bersama adiknya, Eddie yang juga anggota kumpulan Moin masih lagi membara tetapi merasakan hasrat itu tidak akan berlaku pada masa terdekat.
"Buat masa sekarang ini, Ida tidak lagi aktif sebagai penyanyi. Namun, Ida masih lagi mendapat tawaran menyanyi di majlis-majlis tertentu. Apabila dijemput menyanyi, Ida tidak akan menolak pelawaan tersebut. Pun begitu, untuk Ida merakamkan lagu single terbaru, rasanya ia mungkin tidak akan berlaku. Lagipun pula, pasaran untuk kami menjadi penyanyi sudah kurang.
"Ida turut merasakan inisiatif untuk kami merakamkan lagu baru, tidak berbaloi. Kebetulan pula, rutin seharian Ida sangat sibuk sebagai dengan dunia lakonan. Apapun, Ida mahu jelaskan di sini bahawa Moin tidak berpecah. Ini memang perjanjian Ida bersama Eddie dari awal penubuhan kami sekitar 1999.
"Untuk pengetahuan peminat yang masih menyokong kami, Moin masih lagi bersama kerana kami adalah pasangan adik-beradik. Kami memikirkan, buat sementara waktu ini, kami tidak akan buat come back untuk menyanyi. Lagioun pula keadaan fizikal Ida tidak mengizinkan yang mana Ida sudah semakin berisi dan kurang sesuai untuk menjadi penyanyi," kata Ida yang pernah popular melalui lagu Kau Yang Ku Sayang.
Menjelaskan mengenai dunia lakonan, Ida menganggap susuk tubuhnya yang semakin berisi menjadi punca rezeki untuk dia bergerak maju ke hadapan sebagai pelakon komedi.
"Alhamdullilah, rezeki Ida murah bila memiliki susuk tubuh gempal dan berisi. Ida tidak mahu bohong, sebelum ini Ida ada dibayar pihak produksi untuk menjadi gemuk bagi memegang sebuah watak dalam drama. Kalau nak kata Ida tidak memilih untuk memegang watak biasa, Ida rasa taklah sebegitu.
"Sebelum menjadi pelakon komedi, Ida banyak memberanikan diri dengan mencuba pelbagai watak. Mungkin waktu itu, penonton tidak perasan dengan penglibatan Ida sebagai pelakon komedi. Ida banyak berlakon komedi untuk saluran TV Astro. Watak komedi pertama yang Ida pegang menerusi drama Ada Aku Kisah," ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment